KUCHING, 3 Januari – Menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu, penduduk terjejas banjir khususnya ibu bapa berharap bantuan persekolahan dapat disalurkan segera bagi meringankan beban dan memastikan anak-anak mereka dapat memulakan sesi pembelajaran dengan lancar.
Penduduk terjejas Sabia Loi yang ditemui RTM di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah berkata, kebanyakan kelengkapan persekolahan anak-anak seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis rosak atau musnah akibat banjir yang melanda kawasan kediaman mereka.
“Ketika ini kami amat memerlukan bantuan untuk anak-anak sekolah seperti pakaian atau sedikit sumbangan kewangan bagi membeli barangan persekolahan kerana belum sempat membuat sebarang persiapan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Julisafarah Junaidi, berkata bantuan dalam apa jua bentuk amat bermakna, bukan sahaja kepada keluarganya tetapi juga kanak-kanak lain yang turut terjejas.
“Jika ada bantuan seperti baju, kasut atau beg sekolah, ia sangat membantu kerana ramai kanak-kanak di sini mengalami nasib yang sama,” katanya.
Sementara itu, Rosleza Wain memaklumkan semua keperluan persekolahan anaknya yang bersekolah di Tahun 6 turut rosak akibat banjir.
“Beg dan kasut anak saya rosak, begitu juga barangan sekolah lain. Semua terjejas akibat banjir,” katanya.
Menurut ibu bapa terlibat, keutamaan ketika ini adalah penyediaan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis bagi membolehkan anak-anak kembali ke sekolah tanpa sebarang kekangan.
Selain aspek fizikal, mereka turut menekankan kepentingan sokongan emosi kepada anak-anak yang terkesan dengan bencana banjir supaya lebih bersedia dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baharu.