Industri pelancongan Malaysia berkembang kerana negara aman – PM

KUALA LUMPUR, 3 Januari – Kejayaan industri pelancongan negara bukan sekadar bergantung kepada pembangunan dan tarikan fizikal, sebaliknya berpaksikan kepada keamanan, keharmonian serta kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan industri pelancongan terus berkembang kerana Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan stabil, selain berjaya menampilkan keunikan budaya serta seni pelbagai kaum dari seluruh pelosok negara.

“Industri pelancongan berjaya kerana negara ini aman. Ia berjaya kerana kita mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya seperti yang dapat dilihat hari ini, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

“Kita bangga dengan seni dan budaya kita, dan inilah kekuatan yang perlu kita pertahankan. Kita bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ‘I LITE U’ di Pavilion Bukit Bintang, di sini.

Usaha memperindah kawasan tumpuan pelancong menerusi inovasi kreatif seperti pencahayaan artistik bukan sahaja menceriakan landskap bandar, malah mampu memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Inisiatif berkenaan dilihat seiring dengan aspirasi negara dalam memperkasa sektor pelancongan selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Selain itu kepentingan mengekalkan perpaduan nasional serta memelihara warisan budaya dilihat sebagai asas dalam memastikan kelestarian dan daya saing industri pelancongan negara.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta beberapa menteri dan timbalan menteri lain.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, yang juga Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua menteri yang hadir bagi menyokong penganjuran projek ‘I LITE U’ di Kuala Lumpur dalam suasana aman dan tenang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.