KUANTAN, 4 Januari – Inisiatif Gula Rahmah yang dilaksanakan di bawah Program Jualan Rahmah MADANI bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah turut menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan kerajaan apabila ia dijual tanpa sebarang insentif atau subsidi kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh setakat ini, Gula Rahmah hanya dibenarkan untuk dijual menerusi Program Jualan Rahmah Bergerak dan luar premis, selaras dengan dasar semasa yang ditetapkan kerajaan.
Jelas beliau, pelaksanaan inisiatif Gula Rahmah tanpa subsidi yang dijual pada harga RM2.70 itu disifatkan sebagai satu pendekatan baharu yang memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
“Sekarang ini insentifnya RM42 juta sebulan kepada dua syarikat besar yang mengeluarkan gula di Malaysia. Tapi, Gula Rahmah ini mendapat kebenaran daripada KPDN untuk menjual Gula Rahmah ini tanpa mendapat apa-apa insentif daripada kerajaan. Jadi, ini adalah satu bonus kepada kerajaan,”
Beliau berkata demikian pada program serahan baucar Jom Kembali Ke Sekolah 2026 di MBS World Mega Bookstore, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, senarai barangan di bawah Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas dan keperluan rakyat.
Jelasnya, pihak KPDN setakat ini telah menerima pelbagai maklum balas dan cadangan daripada orang ramai berkaitan keperluan penambahan barangan dalam inisiatif SARA, dan hasil dapatan itu akan disalurkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu katanya, sebanyak 50 siri program Jualan Rahmah MADANI: Kembali Ke Sekolah telah dilaksanakan di seluruh negeri Pahang yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Program Jualan Rahmah MADANI: Kembali Ke Sekolah dilaksanakan secara bertema oleh KPDN bermula 18 Disember 2025 hingga 11 Januari merupakan antara 337 program yang telah dilaksanakan di seluruh negara, bagi menangani isu kos sara hidup rakyat menjelang musim persekolahan.