Isu parkir kritikal di Kuala Lumpur, NGO desak DBKL bertindak tegas

KUALA LUMPUR, 5 Januari– Isu kekurangan parkir di sekitar ibu negara terus meruncing apabila kewujudan kenderaan terbiar dan penyalahgunaan petak parkir awam dikenal pasti sebagai antara punca utama masalah berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata banyak kenderaan yang sudah tidak digunakan dibiarkan begitu sahaja terutama di kawasan penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

“Kita juga meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya meneliti semula isu kenderaan terbiar di kawasan perumahan PPR dan PA. Terdapat banyak kenderaan yang tidak lagi digunakan, mengalami kerosakan, tayar pancit serta ditumbuhi rumput, sekali gus menjejaskan persekitaran penduduk.”

“Selain itu, terdapat juga isu berkaitan tempat letak kenderaan apabila premis-premis kedai menggunakan petak parkir di hadapan premis mereka sebagai lokasi mencuci atau menjual kenderaan. Walaupun petak parkir tersebut disewa daripada DBKL, ia tidak sepatutnya digunakan bagi tujuan perniagaan,” kata Hussen kepada pemberita, hari ini.

Sehubungan itu, Hussen menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud untuk menilai semula isu berkenaan serta mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi memastikan ibu negara lebih tersusun dan teratur.

Beliau turut mencadangkan agar peniaga kecil ditempatkan di lokasi yang lebih strategik supaya keperluan mereka dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kemudahan awam.

“Isu kenderaan terbiar dan masalah parkir ini bukan sahaja berlaku di satu lokasi, sebaliknya wujud di banyak kawasan. Oleh itu, kita meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memperkukuh penguatkuasaan supaya Kuala Lumpur kelihatan lebih tersusun, indah dan teratur,” katanya.

Tambah beliau, usaha bersepadu di bawah pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur diyakini mampu mengembalikan wajah ibu kota sebagai sebuah bandar raya yang mesra penduduk dan pelawat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.