PUTRAJAYA, 30 Disember- Kerajaan menegaskan pendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur dalam menangani isu rasuah, tanpa mengira sama ada ia melibatkan rakan, lawan politik, mahu pun pihak dalam pentadbiran kerajaan sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian itu merupakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tatakelola, membanteras salah guna kuasa dan memastikan dana negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
Beliau memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap, hari ini di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, dan isu pembanterasan rasuah merupakan antara perkara utama yang dibincangkan.
“Antara perkara utama yang kami bincangkan ialah langkah-langkah tegas yang diambil kebelakangan ini, termasuk mutakhir, terhadap rasuah yang menular di peringkat atasan.”
“Walaupun kerajaan menegaskan bahawa antara dasar utamanya adalah menekankan isu tatakelola, menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa, namun masih ada saki-baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa maklumat terkini hasil siasatan telah disampaikan kepada Seri Paduka Baginda, dengan penegasan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan.
“Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak akan menerima apa-apa ugutan daripada mana-mana pihak. Kita akan bertegas menghadapi masalah ini sama ada melibatkan kawan atau lawan,” tegasnya.
Menurut beliau, beberapa tindakan telah diambil melibatkan pelbagai peringkat, termasuk jentera pentadbiran, pejabat kerajaan, parti komponen Kerajaan Perpaduan, pembangkang, pimpinan angkatan tentera serta penjawat awam.
Datuk Seri Anwar menegaskan, kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan dana awam digunakan secara wajar dan berintegriti demi membela nasib rakyat serta menyelamatkan kepentingan negara.