JBPM hantar 17 tan bekalan makanan ke pos Orang Asli

GUA MUSANG, 6 Januari – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menghantar lebih 17 tan bekalan bakul makanan sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada 956 keluarga Orang Asli di lima pos pedalaman di sini bermula hari ini.

Bekalan makanan termasuk beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan barangan keperluan lain itu dihantar ke Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Bihai yang terputus hubungan jalan raya akibat musim tengkujuh.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, Mohd Ruzaidi Ramlee berkata, operasi penghantaran menggunakan sebuah helikopter Mi-17-IV dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah dan dijangka berlangsung selama empat hari hingga 9 Januari.

“Secara keseluruhan lebih 17 tan bekalan akan dihantar. Hari ini, sebanyak 3.6 tan melibatkan 203 bakul makanan berjaya disalurkan ke Kampung Tendrik. Keadaan awan rendah menyebabkan penghantaran ke Pos Gob ditangguhkan,” katanya.

Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan 22 kru penerbangan dengan kerjasama kakitangan JAKOA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.