Jeneral Datuk Azhan seru anggota kekal tenang, bersatu dan berdisiplin

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman menekankan kepentingan ketenangan, kesatuan dan disiplin dalam kalangan anggota Tentera Darat ketika berdepan cabaran keselamatan negara.

Mengulas situasi semasa, beliau menyeru seluruh anggota Tentera Darat agar kekal tenang, bersatu dan berdisiplin.

“Saya yakin keadaan dapat dikawal. Apa jua cabaran yang timbul perlu dijadikan pengajaran untuk kita terus memperkukuh perpaduan dan memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama (KKU) Panglima Tentera Darat di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik secara rasmi sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026 selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada pada 19 November 2025 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut disaksikan Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Jeneral Datuk Azhan turut meluahkan rasa syukur atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan selain menyifatkan tanggungjawab memimpin Tentera Darat Malaysia sebagai amanah besar.

“Saya percaya tugas ini adalah satu tanggungjawab yang berat kerana Tentera Darat merupakan formasi terbesar dalam ATM. Saya komited untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin dengan sokongan seluruh warga Tentera Darat dan rakyat Malaysia,” katanya.

Fokus utama kepimpinannya adalah memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Tentera Darat selaras dengan hala tuju pembentukan Angkatan Masa Hadapan 2030.

“Tahun ini merupakan fasa permulaan yang penting. Banyak penambahbaikan perlu dilaksanakan, khususnya dalam memperhalusi semula tugas-tugas teras Tentera Darat agar kekal relevan dan berkesan menghadapi cabaran keselamatan semasa,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.