Jualan Rahmah MADANI diteruskan, bermula 9 Januari

PUTRAJAYA, 5 Januari– Jualan Rahmah MADANI akan bermula 9 Januari dan diadakan tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif tersebut diteruskan tahun ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu harga barang.

“Kerajaan mengakui wujudnya keresahan rakyat terhadap kenaikan harga barangan. Sehubungan itu, Program Jualan Rahmah MADANI akan dilaksanakan bermula 9 Januari, sebanyak tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).”

“Secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan dianjurkan melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan. Program ini bertujuan memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.”

“Selain itu, sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI turut dilaksanakan dengan penawaran harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah kepada pengguna,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026, di sini.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid akan disalurkan.

Jelasnya, bantuan tersebut boleh diambil di sekolah masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.