KUALA LUMPUR, 6 Disember – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengagalkan cubaan seludup alat mainan dewasa, moped bike dan dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta menerusi tiga operasi berbeza pada hujung tahun lalu.
Pengarahnya, Wan Norizan Wan Daud berkata, rampasan terbesar adalah alat mainan dewasa melibatkan 18,140 unit bernilai RM800,000 yang dirampas di premis perniagaan di Taman Perindustrian Putra Puchong pada 30 September 2025.
“Alat mainan dewasa tersebut diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Seorang lelaki warganegara telah ditahan dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Selain itu, JKDM turut menyita sebuah kontena dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang selepas disyaki membawa dagangan mikromobiliti disyaki moped bike dan skuter lipat berkuasa elektrik berbagai jenis pada 20 November 2025.
“Hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah dagangan disyaki moped bike berkapasiti 49cc dan skuter elektrik pelbagai saiz dan jenis dengan kuantiti sebanyak 373 unit melibatkan anggaran nilai berjumlah RM154,626 serta cukai berjumlah RM93,940.
“Siasatan awal mendapati kontena tersebut membawa masuk dagangan dalam bentuk komponen terlerai dari negara China sebelum dibuat pemasangan tempatan di kawasan Lembah Klang,” ujarnya.
Dagangan elektronik tersebut dikategorikan sebagai larangan bersyarat di bawah Butiran 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang mana pengimportannya memerlukan kelulusan dan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam pada itu, Wan Norizan berkata, pada 25 November 2025, sekitar 3.00 pagi, hasil maklumat awam, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL berjaya mematahkan aktiviti pembekalan dadah berbahaya jenis syabu melalui serbuan ke atas sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan rumah pangsapuri di Taman Desa Petaling, Selangor.
Serbuan awal pagi tersebut menemukan sejumlah bahan berbentuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu atau ‘Methamphetamine’ dengan anggaran berat 11.031 kilogram dan nilai RM352,992.
“Bungkusan dadah tersebut diletakkan di dalam dua buah beg runcit di tempat duduk belakang sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza. Kenderaan tersebut turut disita untuk siasatan lanjut.
“Seorang lelaki warganegara yang merupakan pemilik kenderaan telah ditahan reman dan kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.