TANJONG MALIM, 4 Januari – Kerajaan memberi jaminan akan membantu membawa pulang 36 jemaah umrah dari Malaysia yang dilaporkan terkandas di Madinah baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memastikan semua jemaah terlibat pulang ke tanah air dengan selamat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Malaysia masih menunggu keputusan rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan haji bagi musim haji tahun ini.
Menurutnya, keputusan berkaitan kuota tambahan adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara kerajaan Arab Saudi.
Setakat ini, kuota asas jemaah haji Malaysia kekal 31,600 orang, manakala permohonan tambahan sebanyak 10,000 kuota telah dikemukakan lebih awal.
“Seperti negara lain, Malaysia turut berharap kuota tambahan dapat diluluskan memandangkan masih ramai jemaah yang membuat rayuan. Kita berdoa agar ada sinar bagi tahun ini, dan pada masa sama mendoakan keamanan serta kestabilan Arab Saudi supaya mereka dapat mempertimbangkan permohonan kita,”.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan program #MADANI Membantu Jom Ke Sekolah 2026 di Dewan Muallim, Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim.