ANKARA, 7 Januari – Kerajaan MADANI dibangunkan berteraskan semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara parti komponen tanpa sikap mendabik dada.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekuatan kerajaan terletak pada kesepakatan jitu dalam melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, pelaksanaan program kerajaan perlu diperkasakan dengan lebih berkesan serta disertai usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan modal insan.
“Tidak semua kerana kekuatan itu bersama untuk melaksanakan program. Tapi andai kata kita dapat bertahan dan melaksanakan program dengan lebih baik. Tingkat kesedaran lebih bersungguh-sungguh. Anak-anak yang terdedah dengan ilmu baru, teknologi baru, IT dan AI dan kejuruteraan.
“Semua bidang-bidang baru ini. Teras dengan akidah dan akhlak yang baik. Sudah bayangkan satu dua tahun lagi Malaysia itu akan berubah wajahnya. Kita mampu lakukan,” katanya.
Katanya ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di sini.
Majlis dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di Ankara.
Terdahulu, Perdana Menteri dan Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada pukul 7.13 malam waktu tempatan (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia).
Beliau berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari hingga 8 Januari atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
ARTIKEL BERKAITAN: