KUALA LUMPUR, 1 Januari – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit ‘walk-in’, sambil menegaskan maklumat tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
- KKM menafikan khabar angin bahawa klinik kesihatan tidak menerima pesakit walk-in.
- Sistem janji temu adalah kaedah utama tetapi walk-in masih diterima untuk kes kecemasan dan golongan terhad akses.
- Pesakit walk-in akan dinilai melalui proses triage sebelum dilayan.
- KKM komited memastikan akses rawatan yang adil walau berbeza tahap akses teknologi.
Menurut kenyataan KKM di platform X, walaupun sistem janji temu digunakan sebagai kaedah utama pengurusan pesakit, perkhidmatan ‘walk-in’ masih diteruskan khususnya bagi kes kecemasan, warga emas serta individu yang mempunyai kekangan akses kepada teknologi.
“Pesakit tanpa janji temu tetap akan dilayan, namun perlu melalui proses penilaian awal atau ‘triage’ terlebih dahulu.
“Pesakit yang mempunyai janji temu pula akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menegaskan pihaknya memahami perbezaan tahap akses teknologi dalam kalangan masyarakat dan komited memastikan setiap lapisan rakyat mendapat akses rawatan kesihatan yang adil dan saksama.