KUALA LUMPUR, 6 Januari – Masyarakat perlu mengamalkan sikap tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai sebarang berita yang diterima melalui media sosial.
Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran media sosial sememangnya memudahkan masyarakat memperoleh ilmu dan maklumat tanpa batasan jarak dan masa.
Namun maklumat yang disebarkan melalui platform digital bersifat terbuka serta tidak semuanya melalui proses penapisan sewajarnya.
Beliau berkata, ketiadaan kawalan khusus menyebabkan maklumat yang diterima tidak boleh dianggap benar sepenuhnya tanpa semakan daripada sumber asal.
“Setiap individu perlu bertanggungjawab menilai dan menapis maklumat yang diterima dengan merujuk kepada sumber yang sahih dan berautoriti.
“Kegagalan mengamalkan tabayyun bukan sahaja menjejaskan pembangunan individu, malah memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada RTM.
Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan menyebarkan maklumat palsu demi kepentingan tertentu dan agenda tersembunyi.
Katanya, kesan maklumat palsu kini lebih berbahaya kerana mampu memesongkan pemikiran masyarakat tanpa menggunakan kekuatan fizikal seperti pada zaman dahulu.
Beliau turut menyifatkan fenomena itu sebagai satu bentuk penjajahan minda yang mana maklumat palsu digunakan untuk merosakkan persepsi dan pembangunan masyarakat.
“Maklumat palsu boleh merosakkan kerjaya individu dan menjejaskan kestabilan negara jika tidak ditapis, justeru kesedaran dan sikap tabayyun perlu diterapkan secara meluas supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang memesongkan.
“Maklumat yang diperoleh harus dinilai dari segi manfaatnya untuk pembangunan diri dan kesejahteraan negara,” katanya.