KPK sambut baik pengecualian jualan ke atas input pertanian tertentu

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pendekatan Kerajaan berhubung pengecualian cukai jualan (0 peratus) ke atas input pertanian tertentu termasuk baja, racun serangga dan input industri makanan ternakan yang bertujuan mengurangkan kos pengeluaran.

KPK dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 dilihat signifikan kepada Sektor Agrikomoditi Negara yang bergantung kepada kestabilan kos input bagi memastikan produktiviti, daya saing dan keterjaminan rantaian bekalan terutamanya dalam kalangan pekebun kecil dan pengeluar berskala sederhana.

“KPK berpandangan bahawa pendekatan bersasar ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup dan kos pengeluaran secara menyeluruh di samping memastikan sokongan fiskal diberikan secara berhemah dan berfokus kepada sektor-sektor strategik yang menyumbang kepada pendapatan luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Selaras dengan itu, KPK turut menyokong penekanan Kerajaan terhadap pemerkasaan pendapatan dan kebajikan pekebun kecil termasuk melalui pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial dan bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Jualan Rahmah MADANI dan Jualan AgroMADANI.

“Inisiatif-inisiatif ini memberi kesan langsung kepada sebahagian besar komuniti pekebun kecil agrikomoditi yang majoritinya berada di kawasan luar bandar dan merupakan tulang belakang pengeluaran komoditi negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam konteks pembangunan ekonomi, KPK turut menyambut baik penekanan terhadap pengukuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk penyediaan kemudahan pembiayaan, jaminan kredit dan sokongan institusi bagi memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta menggalakkan pertumbuhan.

Kenyataan itu juga mengulas mengenai pendekatan pragmatik Kerajaan berhubung pelaksanaan digitalisasi dan pematuhan cukai termasuk pemberian tempoh peralihan tanpa penalti bagi pelaksanaan e-Invois. Pendekatan itu mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri, kos pematuhan serta cabaran transformasi digital yang dihadapi oleh pemain Sektor Agrikomoditi.

Sehubungan itu, KPK komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, agensi pelaksana dan pemegang taruh industri bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah digitalisasi ini dapat dilaksanakan secara inklusif dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.