Lanjutan tempoh e-invois perkukuh pemahaman, sistem akaun PKS

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-invois tanpa penalti selama setahun memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membuat persediaan lebih rapi dari segi pemahaman dan sistem perakaunan.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A. Razak berkata, lanjutan tempoh tersebut membantu PKS menyesuaikan operasi serta mengurangkan tekanan kos dan pematuhan.

“Tempoh interim yang dilanjutkan daripada enam bulan kepada setahun memberi peluang kepada PKS untuk meningkatkan pemahaman dan pematuhan e-invois, menyesuaikan sistem perakaunan serta merancang kos latihan, aliran tunai dan keperluan tenaga kerja dengan lebih teratur”, katanya kepada RTM.

Dr Mohd Fairuz turut menekankan kepentingan sokongan berterusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui penganjuran kursus jangka pendek dan panjang bagi membantu PKS memahami kaedah pelaporan yang betul.

Beliau berkata, meskipun MyInvois disediakan secara percuma, PKS masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem perakaunan yang sesuai dengan operasi mereka.

Tambahnya, pendekatan berfasa dan bersifat mendidik akan meningkatkan kadar pematuhan secara sukarela, sekali gus membantu kerajaan merealisasikan agenda pendigitalan sistem percukaian negara.

Semalam, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh peralihan e-invois tanpa penalti selama setahun bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya bermula 1 Januari 2026.

Ia susulan maklum balas bahawa sebahagian syarikat masih belum bersedia, terutama dari segi kos pelaksanaan yang tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.