KUCHING, 3 Januari – Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan lantai kediaman Saliah Sapuan, 59, di Kampung Tengah Sungai mengalami keretakan akibat hakisan tanah serta arus air deras.
Saliah berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 4.00 pagi semqalam (Jumaat) apabila lantai simen rumahnya mula merekah, selain tebing sungai berhampiran dilaporkan runtuh.
“Lantai simen dalam rumah sudah pecah dan benteng tebing sungai yang dibina sebelum ini turut runtuh. Tanaman kami juga hanyut dibawa arus air,” katanya.
Saliah berkata demikian ketika ditemui RTM di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di sini.
Rasa bimbang mendorongnya memeriksa keadaan rumah menggunakan lampu suluh sebelum menyedari struktur kediaman itu berada dalam keadaan berbahaya dan berisiko runtuh.
“Saya tidak sedap hati lalu mengambil lampu suluh untuk memeriksa keadaan. Apabila lihat tanah di bawah rumah sudah runtuh ke sungai, saya terus memaklumkan kepada suami kerana bimbang rumah ini boleh roboh bila-bila masa,” katanya.
Susulan itu, Saliah yang tinggal bersama suami dan seorang cucu diarahkan berpindah ke PPS di SJKC Chung Hua selepas pihak berkuasa mendapati rumah berkenaan tidak lagi selamat untuk didiami.
Saliah turut berharap pihak berkenaan dapat menyalurkan bantuan segera bagi membina benteng penahan tebing sungai serta membaiki atau membina semula kediaman mereka yang terjejas.