ANKARA, 7 Januari – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye kali ini bakal memberi tumpuan kepada perbincangan substantif.
Ini bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau berkata pertemuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijangka menjurus kepada usaha mempererat persahabatan kedua-dua negara, termasuk kerjasama perdagangan, pelaburan serta diplomasi.
“Perbincangan ini juga melibatkan kerjasama dalam pelbagai bidang lain seperti pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.
Katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Diaspora Malaysia di sini.
Tambahnya, pengukuhan hubungan dua hala itu akan memberi makna sebenar kepada nilai persahabatan strategik antara Malaysia dan Turkiye.
Mengulas lanjut, meskipun hampir tiga tahun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, ini merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye.
Hadir sama ke Majlis tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PM tiba di Turkiye, mulakan lawatan rasmi tiga hari
- PM harap lawatan ke Turkiye beri manfaat kepada rakyat, negara
- Perdana Menteri berlepas ke Turkiye bagi lawatan rasmi