Lelaki maut disambar petir selepas memancing

ALOR SETAR, 13 November -Seorang lelaki maut disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama rakan-rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, di Langkawi, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki maut disambar petir selepas pulang dari memancing di Jeti Nelayan Teluk Baru, Langkawi.
  • Mangsa, pemilik bot, keluar memancing dengan tiga rakan dan kembali ke jeti ketika hujan.
  • Saat hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir dan jatuh ke bawah jeti.
  • Orang awam mengangkat mangsa ke atas bot dan dihantar ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.
  • Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat; kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin dalam kenyataan berkata, Ishak Hashim, 57,disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Mangsa yang juga pemilik bot keluar memancing bersama tiga rakannya pada 8.00 pagi melalui jeti nelayan itu. Kira-kira 7.20 malam mereka semua pulang semula ke jeti selepas selesai memancing dan ketika itu hujan dan semuanya berlindung di bawah bumbung jeti berkenaan. Semasa hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir sehingga menyebabkan mangsa jatuh ke bawah jeti.

“Orang awam yang berada di situ turut membantu mengangkat mangsa naik ke atas bot sebelum dibawa ke darat. Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital kira-kira 8.35 malam sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian,” katanya menerusi kenyataan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.