KLUANG, 4 Januari – Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayinya parah apabila motosikal mereka merempuh sebuah lori selepas dikejar seekor anjing.
Kejadian berlaku malam tadi di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku pada pukul 7.30 malam semasa pasangan suami isteri berusia 28 tahun dan bayi lelaki setahun itu dalam perjalanan dari arah Tasik Machap ke kawasan perumahan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isteri dan anaknya kini dirawat di Zon Merah, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Beliau berkata ujian air kencing pemandu lori berusia 42 tahun negatif dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.