PETALING JAYA, 4 Januari – Hasrat Selangor FC untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal selepas tewas 0-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan JDT meneruskan rekod 13 kemenangan berturut-turut, manakala rekod tanpa kalah Selangor selepas tujuh perlawanan liga turut terhenti.
Kali terakhir Selangor menewaskan JDT dalam Liga Super adalah pada 2017.
Keputusan itu juga menyebabkan Selangor kekal di tangga keempat liga, ketinggalan tiga mata di belakang Kuching City dan Kuala Lumpur City.
JDT mendahului seawal minit ketujuh menerusi percubaan Nacho Mendez yang terkena pertahanan Selangor sebelum masuk ke gawang.
Penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, beraksi cemerlang apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya JDT untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, Selangor gagal mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan meskipun berusaha menekan.
JDT mengesahkan kemenangan apabila penyerang gantian, Bergson da Silva, menjaringkan gol kedua pada minit kecederaan, sekali gus memastikan tiga mata penuh milik pasukan pelawat.