Lonjak pembangunan desa: KKDW fokus impak rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan lonjakan pembangunan luar bandar pada 2026 dengan memberi tumpuan kepada penilaian berasaskan ‘outcome’ sebenar yang dirasai rakyat, berbanding pendekatan berasaskan ‘output’ semata-mata.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Roslan Mahmood berkata, pendekatan itu bertujuan membina masa depan masyarakat desa yang lebih bermaruah, berdaya tahan dan inklusif, selari aspirasi Malaysia MADANI.

“KKDW akan menetapkan penunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas bagi mengukur kesan sebenar, selain menggunakan belanjawan berasaskan keberhasilan supaya impaknya benar-benar dirasai rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Program Bicara Naratif.

Beliau berkata, KKDW turut memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas dalam tadbir urus pembangunan desa, dengan memberi keutamaan kepada permohonan dan keperluan sebenar pemohon atau penerima manfaat.

“Pendekatan ini lebih berkesan kerana kementerian mendengar suara dan keperluan rakyat,” menurutnya.

Roslan menambah, pembangunan desa 2026 akan dipacu melalui kerangka 5P iaitu People (memperkasa mobiliti sosial), Place (membangunkan desa sebagai kluster pertumbuhan unik), Productivity (menjamin pendapatan bermaruah), Prosperity (mewujudkan kemakmuran berkat) dan Purpose (amanah sebagai tunjang utama).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.