PUTRAJAYA, 7 Januari – Projek rintis Mahkamah Buruh Bergerak dijangka bermula selewat-lewatnya Ogos depan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, inisiatif itu merupakan pendekatan baharu bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan Mahkamah Buruh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus mempercepatkan proses perundangan untuk semua pihak terlibat.
Katanya, sebagai permulaan, tiga unit kenderaan diubah suai khas akan ditempatkan di Semenanjung dalam usaha menjayakan projek berkenaan.
“Ini adalah satu inisiatif yang akan memudahkan proses bagi semua orang. Jadi, mereka tidak perlu pergi ke mahkamah. Sebaliknya, mahkamah akan datang kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Putrajaya.
Tambahnya lagi, kementerian turut memperkukuh kecekapan Mahkamah Buruh melalui pemasangan Sistem Perekodan Digital (SPD) selaras dengan agenda pendigitalan negara.
Inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta dan akan dipasang di enam Mahkamah Buruh, iaitu di Pejabat Tenaga Kerja Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Langkah tersebut bertujuan mempercepatkan prosiding perbicaraan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan rekod kes buruh yang lebih sistematik dan efisien.