MELAKA, 4 Januari – Kerajaan negeri Melaka akan menawarkan kemasukan percuma ke destinasi pelancongan terpilih di negeri itu kepada kakitangan sektor perkhidmatan awam bersempena sambutan rasmi seperti Hari Polis, Hari Guru, Hari Jururawat dan Hari Angkatan Tentera Malaysia.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada promosi Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) selain sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam dan pasukan keselamatan negara.
Menurutnya, kemudahan tersebut boleh dinikmati oleh mana-mana anggota perkhidmatan awam yang meraikan hari sambutan rasmi berkenaan dengan hanya menunjukkan kad pengenalan serta pengesahan identiti tempat kerja ketika memasuki destinasi pelancongan terlibat.
“Semua anggota polis pada Hari Polis, anggota tentera pada Hari Tentera serta guru pada Hari Guru, termasuk mana-mana hari kebesaran yang telah digazetkan kerajaan, akan menikmati kemasukan percuma ke lokasi pelancongan di Melaka. Mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan dan kad identiti tempat kerja. Bagi ahli keluarga yang dibawa bersama, akan diberikan diskaun sebanyak 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) 3.0 di Stadthuys, Melaka.
Sementara itu, pengunjung program MBLM sepanjang penganjuran TMM 2.0 turut berpeluang menikmati kemasukan percuma ke beberapa lokasi pelancongan seperti muzium dan galeri Melaka, Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Malaysia Heritage Studio sekiranya memakai busana etnik Melaka.