Mayat Mohamat Firdarus ditemukan di Lubuk Biara

RAUB, 4 Januari – Seorang lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi di kawasan pusat rekreasi di Jeram Besu, Raub pada 1 Januari lalu ditemukan meninggal dunia petang tadi, dalam hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, mangsa, Mohamat Firdarus Jumaidi, 26, ditemukan pasukan bomba pada pukul 3.40 petang di Lubuk Biara, kira-kira 700 meter dari lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus.

Mayat mangsa dibawa menaiki bot ke Pos Kawalan Operasi sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi hari keempat bermula seawal pagi. Pencarian dibahagikan kepada beberapa sektor melibatkan pencarian di tebing sungai, dalam air dan menyusuri aliran sungai.

“Pasukan SAR berdepan kesukaran berikutan paras air sungai pasang besar dan arus deras, selain jarak penglihatan yang terhad serta keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Operasi SAR membabitkan 57 anggota daripada JBPM, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Unit Selam Pasukan Penyelamat Di Air, Unit K9 serta Pasukan Bomba Sukarela, dengan bantuan pelbagai aset termasuk bot dan anjing pengesan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.48 petang selepas mangsa berjaya ditemukan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, JBPM menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada di kawasan sungai, pantai dan perairan terbuka berikutan Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan paras air meningkat dan arus menjadi deras.

Orang awam diminta mengelakkan aktiviti riadah air ketika cuaca tidak menentu, mematuhi amaran keselamatan serta segera menghubungi talian 999 jika berlaku kecemasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.