KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan penggunaan MyDigital ID (MyDID) sebagai platform sistem log masuk tunggal bagi warganegara Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe), berkuat kuasa 15 Januari ini.
Menurut kenyataan KDN, bagi pengguna warganegara asing, kaedah log masuk sedia ada ke aplikasi MyNIISe akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan.
“Pelaksanaan MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang berfungsi untuk mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan data peribadi pengguna,” menurut kenyataan tersebut.
KDN memaklumkan pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan keselamatan transaksi digital, malah memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.
Sehubungan itu, warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas disarankan untuk memuat turun serta mendaftarkan diri ke aplikasi MyDigital ID yang boleh didapati di gedung aplikasi seperti Apple App Store, Google Play dan Huawei AppGallery sebelum menggunakan MyNIISe.
Aplikasi MyNIISe mula digunakan pada 22 September 2025 bagi kemasukan ke negara melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru, dan akan diperluaskan secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.
Tambah KDN, pelaksanaan MyDigital ID dalam MyNIISe mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat, cekap dan berfokuskan rakyat, bagi meningkatkan kepercayaan serta keselesaan pengguna dalam urusan keimigresenan negara.