SEREMBAN, 7 Jan – Pengumuman Perdana Menteri berhubung Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu akan mula dibayar kepada penerima bermula 20 Januari ini disambut baik orang ramai.
Tinjauan RTM mendapati, langkah itu memberi kelegaan kepada penerima memandangkan pelbagai komitmen kewangan perlu dibelanjakan, terutama menjelang awal tahun.
Ini termasuk perbelanjaan persekolahan dan keperluan harian.
Suri rumah, Maizatul Afiza Marzuki berkata, STR telah banyak membantu meringankan beban keluarga secara keseluruhan.
“Memandangkan sekarang ini kita nak menghadapi sesi persekolahan baharu, puasa dan perayaan, bantuan ini sedikit sebanyak membantu keluarga,” katanya.
Pandangan serupa diberikan seorang lagi suri rumah, Norhasnida Mukhtar apabila menyifatkan STR dapat membantu mengurangkan perbelanjaan keperluan sekolah anak dan keperluan harian sekeluarga.
Sementara itu, pekerja swasta, Birendra Kumar berkata, walaupun jumlah sumbangan tidak begitu besar, namun ia cukup memberi kelegaan terutama kepada golongan susah dan daif.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dengan pemberian STR, ia dapat membantu golongan seperti mereka,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Nurul Nadhirah Razak pula menyifatkan STR sebagai satu inisiatif yang sangat baik dan perlu diteruskan setiap tahun bagi menampung keluarga berpendapatan rendah.
STR fasa satu merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan bagi memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial demi kesejahteraan rakyat.