KUALA LUMPUR, 6 Januari – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang bakal menghampiri usia 120 tahun penubuhannya terus kekal relevan dan signifikan dalam pembangunan masyarakat, khususnya dalam membentuk sahsiah, integriti serta semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Unit Kelana) PPM, Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, penerapan nilai integriti dalam pergerakan pengakap dilaksanakan secara berperingkat bermula seawal peringkat prasekolah sehingga ke alam dewasa.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti dirangka bagi memupuk integriti, semangat kenegaraan dan rasa cinta akan negara selaras dengan penghayatan Undang-undang Pengakap yang menekankan ketaatan kepada Tuhan, Raja dan Negara, sikap suka menolong serta pematuhan kepada nilai dan prinsip murni.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang berlangsung di Kota Media, di sini, hari ini.
Muhammad Asmawi menjelaskan, struktur kepengakapan di Malaysia dilaksanakan secara sistematik bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, diikuti Pengakap Kanak-kanak di sekolah rendah, Pengakap Muda dan Remaja di sekolah menengah sebelum diteruskan ke peringkat Pengakap Kelana dan kepimpinan.
Katanya, sistem berperingkat itu memastikan latihan serta aktiviti yang dijalankan kekal relevan mengikut usia dan minat ahli, sekali gus melahirkan generasi yang berdisiplin, berempati serta bertanggungjawab.
Selain pembentukan sahsiah, pergerakan pengakap turut berperanan sebagai wadah penyatuan rakyat berbilang kaum dan agama menerusi penglibatan dalam aktiviti bersama.
“Interaksi dan kerjasama ini secara tidak langsung membentuk jati diri serta menyemai nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda sebagai warganegara yang berdaya saing dan berintegriti,” katanya.
Tambah beliau, selepas tamat alam persekolahan, ahli pengakap masih berpeluang meneruskan penglibatan melalui Pengakap Kelana yang berusia antara 18 hingga 26 tahun, khususnya dalam aktiviti komuniti, institusi pengajian tinggi serta khidmat masyarakat termasuk pengurusan bencana.
Setakat ini, keahlian pengakap di Malaysia yang berdaftar seramai 300,000 orang, sekali gus membuktikan pergerakan tersebut terus kekal relevan dalam usaha membina masyarakat yang berintegriti dan bersatu padu.