KUALA LANGAT, 4 Januari – Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol bagi tahun 2026 terus melegakan pengguna lebuh raya, termasuk di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang menjadi antara laluan utama warga Lembah Klang.
Rata-rata pengguna lebuh raya yang ditemui menyifatkan langkah itu sebagai bukti kesungguhan dan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan beban kos sara hidup rakyat tidak terus meningkat, khususnya bagi mereka yang bergantung kepada lebuh raya untuk urusan harian.
“Kami amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana sekurang-kurangnya kami dapat mengawal perbelanjaan. Apabila tol tidak dinaikkan, ada penjimatan di sana-sini dan kami boleh melaraskan bajet seharian. Saya berharap langkah seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” kata pengguna lebuh raya, Shareena Yahya.
“Saya sangat bersyukur dengan Kerajaan MADANI kerana tidak menaikkan harga tol. Sebagai pengguna SKVE, keputusan ini sangat membantu dan perjalanan harian kami dapat berjalan dengan lebih lancar,” kata pengguna lebuh raya, Farizal Mahil.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana tidak menaikkan harga tol. Keputusan ini memang sangat positif kerana dapat mengurangkan perbelanjaan harian, selain membantu rakyat seperti saya,” kata pengguna lebuh raya, Ahmad Fuad Abdul Malik.
Selain SKVE, lebuh raya lain yang turut terlibat dalam keputusan mengekalkan kadar tol bagi tahun 2026 termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX), Lebuhraya Cheras–Kajang (GRAND SAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) serta Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).
Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) juga turut terlibat.