Penggunaan Braille perkasa akses maklumat OKU penglihatan

KUALA LUMPUR, 4 Januari – Penggunaan tulisan Braille yang diperkenalkan lebih dua abad lalu kekal relevan dan terus menjadi medium utama akses maklumat bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, khususnya dalam sektor pendidikan.

Presiden Majlis Pendidikan Khas OKU Penglihatan Antarabangsa, Silatul Rahim Dahman berkata penggunaan Braille memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas, sekali gus membolehkan pelajar OKU penglihatan mengakses buku teks, nota pembelajaran serta menjawab soalan peperiksaan secara kendiri tanpa bergantung kepada pihak lain.

“Peranan Braille terbukti menyumbang kepada kejayaan OKU penglihatan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.

“Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 285 juta individu di seluruh dunia dikenal pasti sebagai OKU penglihatan,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM), di Angkasapuri, Kota Media, di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya penggunaan Braille dapat diperluaskan ke pelbagai sektor, ia berpotensi meningkatkan tahap pemerkasaan golongan berkenaan.

“Antara cadangan termasuk pelabelan Braille di dalam lif, penyediaan menu Braille di restoran serta kad keselamatan penerbangan dalam format Braille, sekali gus membolehkan OKU penglihatan mengakses maklumat dan menggunakan perkhidmatan secara kendiri tanpa bantuan pihak lain,” katanya.

Tambahnya, usaha memperluaskan penggunaan serta pemahaman tulisan Braille dalam kalangan masyarakat umum juga wajar diperkasakan.

Menurut beliau, tulisan Braille tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai keperluan khusus OKU penglihatan, sebaliknya diketengahkan sebagai satu bentuk penulisan alternatif yang boleh dipelajari dan digunakan oleh masyarakat umum, seperti bahasa isyarat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.