Pengharaman vape sistem terbuka disasar tahun ini

PUTRAJAYA , 6 Januari – Pelaksanaan pengharaman penjualan dan penggunaan rokok elektronik (vape) disasarkan bermula tahun ini, dengan tumpuan awal diberikan kepada vape jenis sistem terbuka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Perkara ini telah pun saya uar-uarkan sebelum ini, khususnya berkaitan vape jenis sistem terbuka. Mungkin akan ada beberapa langkah dilaksanakan, namun langkah pertama ialah mengharamkan vape sistem terbuka yang telah disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini, hari ini.

Jelas beliau, penguatkuasaan penuh ini merupakan tanggungjawab moral untuk melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) dan popcorn lung (bronchiolitis obliterans).

Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.