Subsidi diesel antara yang dibincang dalam pramesyuarat Dewan Rakyat

PUTRAJAYA, 23 Jun– Isu berkaitan penyasaran subsidi diesel antara perkara yang dibincangkan dalam pramesyuarat bagi persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula esok hingga 18 Julai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, turut dibincangkan beberapa perkara berkaitan rang undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan semasa sidang Parlimen.

“Ini mesyuarat pre-council yang biasa untuk setiap sidang Parlimen. Sudah tentu diberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa, beberapa pembentangan RUU.

“Yang paling penting adalah penyasaran subsidi diesel, diberikan penerangan dan sebagainya kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka bersedia dalam perbahasan nanti di Parlimen dan juga apa agenda perundangan kita termasuklah beberapa pindaan undang-undang dan sebagainya”, katanya pada sidang media Majlis Penutup Program Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di Putrajaya.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan hadir ke Mesyuarat Pre-Council yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pukul 4.00 petang tadi.

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bakal berlangsung esok sehingga 18 Julai.

Hey there! Ask me anything!