KUALA LUMPUR, 6 Januari — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Turkiye bagi memulakan lawatan rasmi pertama beliau untuk tahun baharu 2026 sehingga 8 Januari.
Perdana Menteri memaklumkan beliau berlepas ke negara itu bersama delegasi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang berlandaskan nilai persahabatan dan saling menghormati yang telah terjalin sekian lama.
“Semoga segala urusan dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Lawatan rasmi itu dijangka merangkumi pertemuan peringkat tertinggi serta perbincangan kerjasama strategik melibatkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula hari ini hingga 8 Jan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Semalam, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selain bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi Malaysia-Turkiye.
Lawatan itu juga mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Turkiye untuk mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh.