PUTRAJAYA, 5 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan bersama Presiden Turkiye mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua-dua negara sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan bermula esok sehingga 8 Januari depan.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu juga bertujuan memperkukuh dan mempertingkat jalinan kerjasama strategik hubungan dua hala yang telah lama terjalin secara lebih tersusun dan menyeluruh.
“Lawatan ini turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang yakni perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan dan hubungan antara rakyat.
”Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum dan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan serta diaspora Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri.
Tambah Nashrul, selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi melalui sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, di samping berinteraksi dengan media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye.
Lawatan rasmi ke Turkiye kali ini mencerminkan keazaman untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik, pragmatik dan berorientasikan hasil demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara.