PUTRAJAYA, 5 Januari – Malaysia mengulangi pendirian berprinsip dan konsisten dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menjunjung undang-undang dan kerukunan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara membangun, Malaysia kekal sebagai negara yang bebas dan berdaulat.
Beliau berkata, pendirian Malaysia dalam menangani isu antarabangsa, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza serta situasi politik di Venezuela adalah tuntas dan konsisten.
“Sebab itu kita mengambil satu pendirian yang tuntas dan konsisten, sama ada berkaitan Gaza atau Venezuela, sebagaimana pendirian pemimpin terdahulu yang sejak awal menentang Apartheid di Afrika Selatan serta memperjuangkan kemerdekaan negara-negara yang pernah dijajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri dan Amanat Tahun 2026 di sini, hari ini.
Semalam Perdana Menteri menggesa Amerika Syarikat (AS) membebaskan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya.
AS melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di ibu negara Venezuela, Caracas, pada awal pagi Sabtu, termasuk pangkalan tentera.
Tentera AS kemudian menahan Maduro dan isterinya sebelum mengekstradisi mereka ke AS untuk berdepan pertuduhan yang mendakwa presiden Venezuela itu mengendalikan “sindiket tajaan negara” serta memudahkan kegiatan pengedaran dadah.