Polis pantau rapi kumpulan ajaran sesat, kekang fahaman ekstrem

GEORGE TOWN, 4 Januari – Polis memantau rapat kewujudan kumpulan ajaran sesat di negara ini bagi mengekang ia daripada berkembang menjadi fahaman ekstrem yang boleh mengancam keselamatan awam dan negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pemantauan secara berterusan penting dalam memastikan fahaman dibawa itu tidak melintasi garisan keselamatan sehingga boleh mencetuskan kegiatan keganasan dan militan.

Beliau berkata, kebanyakan gerakan ekstrem dan militan lazimnya bermula daripada ajaran sesat sebelum berkembang menjadi kumpulan yang berpotensi melancarkan serangan serta mengancam nyawa orang awam.

“Ajaran sesat ini biasanya bermula secara kecil, namun lama-kelamaan boleh berkembang sehingga menjadi kumpulan ekstrem, militan dan akhirnya melancarkan serangan serta membunuh orang. Sebab itu pihak polis perlu memantau lebih awal sebelum mereka melintasi garisan keselamatan”.

“Tidak mungkin kita menunggu sehingga mereka melakukan serangan barulah tindakan diambil. Walaupun ajaran sesat ini pada peringkat awal berada di bawah bidang kuasa jabatan agama, pihak polis tetap memantau dan akan membuat tangkapan sekiranya wujud unsur ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya.

Sebelum ini, beliau mendedahkan sebanyak 14 ajaran yang difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini dengan lapan daripadanya dalam pemantauan pihak berkuasa.

Tan Sri Ayob Khan mengulas perkara itu kepada pemberita selepas menyertai acara kayuhan basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di Queensbay, Pulau Pinang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.