PPKB SMK Matang siap, tingkat keselesaan penduduk terjejas banjir

KUALA BERANG, 4 Januari – Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini sedia untuk digunakan, sekali gus menjadi PPKB pertama di Terengganu.

Kerja naik taraf yang bermula Julai hingga Disember tahun lalu menelan kos hampir RM1 juta dan dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan penduduk terjejas banjir.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, PPKB berkenaan menggunakan asrama sedia ada yang dinaik taraf termasuk penambahbaikan kemudahan tandas serta penyediaan fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Menjadi hasrat kita pusat ini yang pertama menjadi keselesaan kepada penduduk terjejas banjir, dan ia juga boleh digunakan di luar musim banjir supaya projek ini tidak dianggap sebagai pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci PPKB SMK Matang, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Pengarah Pendidikan Terengganu Kamsah@Kamal Mohamed.

Meor Ismail berkata, PPKB SMK Matang mampu menempatkan lebih 200 penduduk terjejas banjir pada satu-satu masa.

Pembinaan PPKB berkenaan melengkapkan tiga pusat pemindahan kekal yang siap setakat ini, selepas PPKB Dewan Taman Kota Jaya dan PPKB Dewan Arena Segitiga, kedua-duanya di Kota Tinggi, Johor.

Secara keseluruhan, sebanyak 15 PPKB dirancang di seluruh negara sama ada melalui pembinaan baharu atau naik taraf Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dengan sasaran setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya dua PPKB.

Dalam perkembangan banjir, Meor Ismail berkata negara kini masih berada di pertengahan musim tengkujuh, dengan luruan hujan seterusnya dijangka berlaku bermula esok.

Semua agensi berkaitan kekal bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan luruan hujan seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.