PUTRAJAYA, 5 Januari – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri diteruskan tahun ini kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan bermula 9 Februari depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu memanfaatkan kira-kira 2.2 juta rakyat dan boleh digunakan bagi persiapan Ramadan serta Tahun Baharu Cina.
Menurut beliau, bantuan berkenaan akan disalurkan secara terus melalui MyKad kepada penerima yang layak.
“Bantuan ini akan dikreditkan pada 9 Februari bagi membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar memaklumkan SARA bagi kategori miskin tegar akan dikreditkan lebih awal pada 9 Januari ini.
Selain itu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu berjumlah sehingga RM500 dijadualkan dikreditkan kepada penerima bermula 20 Januari ini.
Kerajaan menyalurkan Bantuan SARA secara sekali beri melalui MyKad pada 31 Ogos tahun lalu dengan melibatkan peruntukan RM2 bilion.
SARA itu diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 yang boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.