Putri Qisya lapor diri ke MRSM Kubang Pasu 13 Januari ini

ALOR SETAR, 6 Januari – Puteri Qisya Nur Izzat, anak kepada enam sekeluarga selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam dalam terusan Sungai Korok, Jitra, Kedah Julai lalu mendapat sokongan berterusan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) setelah ditawarkan belajar ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemilihan Qisya ke MRSM bukan sekadar kejayaan akademik, sebaliknya lambang kasih sayang dan tanggungjawab bersama memastikan anak yatim berkenaan terus bangkit mengejar impian.

Beliau menerusi hantaran di facebooknya berkata di sebalik kehilangan besar yang meragut seluruh ahli keluarganya, Puteri Qisya Nur Izzat tidak keseorangan.

Jelasnya Mara telah mengambilnya sebagai anak angkat dan akan memastikan perjalanan pendidikannya terpelihara melalui program Budi serta bimbingan berterusan sehingga ke peringkat tertinggi.

Menurut Datuk Dr Asyraf Wajdi, lebih 100,000 permohonan diterima bagi kemasukan MRSM tahun ini namun hanya sekitar 7,000 calon berjaya, sekali gus menjadikan pemilihan Qisya satu peluang istimewa yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau turut sempat mengadakan panggilan video bersama Qisya dan neneknya, yang kini menjadi tempat bergantung satu-satunya buat remaja berkenaan.

Putri Qisya Nur Izzat akan melapor diri ke MRSM Kubang Pasu, Kedah 13 Januari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.