Rasional kenaikan gaji penjawat awam, tiada semakan lebih 10 tahun – PM

PUTRAJAYA, 5 Januari– Keputusan Kerajaan MADANI menaikkan gaji penjawat awam termasuk hakim bukan dibuat atas desakan kakitangan awam, sebaliknya berdasarkan keperluan berikutan kali terakhir semakan gaji dilakukan lebih 10 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tanggungjawab penjawat awam semakin bertambah manakala kadar gaji sedia ada sebelum ini hanya mencukupi bagi menampung keperluan asas keluarga.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk berlaku adil kepada penjawat awam.

“Ini bukan kerana tuntutan penjawat awam, tetapi kerana kita melihat tanggungjawab yang semakin bertambah, dan selama lebih sedekad gaji yang diterima hanya sekadar memenuhi keperluan sebagai ketua keluarga.”

“Saya mulakan langkah ini sebagai usaha memberikan keadilan kepada rakan penjawat awam,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Perdana Menteri turut menjelaskan, kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus adalah munasabah memandangkan tiada kenaikan atau kajian semula dilakukan sejak 2015.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) memastikan pentadbiran awam dilaksanakan secara cekap dan berintegriti.

Katanya, aspek berkenaan turut perlu dipantau oleh semua Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah dan Ketua Unit di kementerian serta jabatan masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, selepas kenaikan gaji dilaksanakan, kerajaan dan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap penjawat awam untuk meningkatkan kualiti serta kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI akan mempergiat pelaksanaan inisiatif Digital Negara pada tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah memastikan urusan perkhidmatan awam dilaksanakan secara dalam talian, kecuali perkara yang terikat dengan peruntukan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.