KUALA LUMPUR, 6 Januari – Kementerian Digital menyambut baik saranan Revolusi Pendigitalan Sektor Awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026.
Datuk Seri Anwar menekankan pendigitalan bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan kritikal untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Perdana Menteri turut menegaskan, pendigitalan mesti dilaksanakan secara serius dan tidak terhenti pada peringkat perancangan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui peningkatan prestasi kerja dan mutu perkhidmatan kerajaan.
Beliau juga menyarankan urusan sektor awam dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya, kecuali yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan kerja.Kementerian Digital, melalui Jabatan Digital Negara (JDN), terus memantau pelaksanaan sistem kerajaan secara End-to-End (E2E) di semua agensi.
“Sehingga 2025, tahap pelaksanaan E2E telah mencapai 80 peratus, dengan sasaran 95 peratus perkhidmatan kerajaan persekutuan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.
JDN juga sedang memuktamadkan Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026 – 2030, yang dijangka siap pada pertengahan Januari ini, merangkumi penambahbaikan sistem sedia ada, pemerkasaan teknologi baharu, pembangunan modal insan digital serta kerjasama strategik antara agensi.
Inisiatif AI@Work turut diperkenalkan bagi memperkukuh penggunaan AI dalam operasi harian sektor awam, membantu meningkatkan kecekapan penyediaan dokumen, mengurangkan masa tugasan rutin, serta menyokong pembuatan keputusan lebih berinformasi.
“Dari Mac hingga November 2025, penggunaan AI meningkat 10 peratus setiap bulan, dengan 373,346 penjawat awam aktif menggunakannya setakat Disember 2025,” jelas kenyataan sama.
Secara keseluruhan, Kementerian Digital kekal komited memacu pendigitalan sektor awam secara bersepadu dan berorientasikan hasil, selaras aspirasi kerajaan untuk perkhidmatan tanpa kertas serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.