PUTRAJAYA, 5 Januari– Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, RUU tersebut merupakan antara langkah reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.
Menurutnya, penetapan had tempoh jawatan adalah wajar bagi memastikan kelangsungan kepimpinan serta memberi ruang kepada generasi seterusnya untuk menerajui negara.
“Semua orang ada had tempohnya. Contoh, KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.”
“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri. Maka, kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” kata Datuk Seri Anwar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini.