SARA: RM100 bantu tampung persiapan sambut perayaan

AYER KEROH, 6 Januari – Pengumuman pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas disifatkan sebagai langkah tepat dalam meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Rata-rata rakyat yang ditemui menyambut baik inisiatif tersebut kerana ia dapat membantu membuat persiapan awal menjelang Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.

Seorang peniaga, Muhammad Almiqdad Yusof berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan kewangan harian.

“Kerajaan memang prihatin membantu rakyat yang memerlukan. Sebagai golongan B40, bantuan SARA ini boleh menampung sedikit perbelanjaan harian terutama barang dapur,” katanya.

Bagi Muhammad Hafifi Shaari, yang bekerja sendiri dan menanggung ibu bapanya, bantuan RM100 itu amat bermakna.

“Sekurang-kurangnya dapat beli beras, susu dan barang keperluan asas. Terima kasih kepada pihak yang melaksanakan SARA ini dan saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Saufi Azmani turut berpandangan bantuan berkenaan memberi manfaat besar kepada isi rumah yang mempunyai tanggungan keluarga.

“SARA ini boleh membantu beli barang dapur dan keperluan lain. Ia juga bantu keluarga, terutama yang ada ibu atau ahli keluarga tunggal,” katanya.

Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat perutusan Tahun Baharu semalam, dengan bayaran akan dikreditkan pada 9 Februari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.