
(Wong Kai Hong dicari polis untuk bantu siasatan)
ALOR SETAR, 13 Julai- Polis Kedah menahan sembilan individu terbabit kegiatan pemerdagangan manusia serta kecurian sumber nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua mereka yang ditahan hujung bulan lalu terdiri daripada empat lelaki warga Myanmar dan lima warga tempatan berusia antara 22 tahun hingga 60 tahun bagi membantu siasatan.
Empat suspek tempatan termasuk seorang wanita itu ditahan pada 21 Jun lalu, manakala seorang lagi ditahan empat hari kemudian dan hasil tangkapan itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga Myanmar serta merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk melombong REE secara manual.
Penahanan kesemua suspek berikutan laporan yang dibuat seorang pengurus sebuah syarikat sendirian berhad yang dilantik untuk mengusahakan ladang hutan Kompartmen 12 Hutan Simpan di Bukit Enggang, Sik yang dibuat pada 31 Mei lalu.
Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Bila kita dapat laporan mengatakan barang-barang dia hilang, jadi pihak siasatan jenayah jalankan siasatan dan dapat maklumat daripada Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains menyatakan peralatan itu adalah peralatan yang disita pada Februari.
“Jadi kita tengok benda (laporan) itu macam ada kontradik (percanggahan), dari situ pihak Polis Kedah menjalankan siasatan dan dapati ada kontradik tersebut. KIta telah menemu bual dan jalankan siasatan, yang mana dalam kes tersebut seramai 52 warga asing ditahan.
“Keterangan diambil daripada warga asing tersebut dan kita dapati ada melibatkan kes eksploitasi dan permerdangan manusia,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.
Polis turut merampas lebih empat guni setengah bahan mineral yang diikat dan disyaki REE seberat 99 kilogram (kg) dan dihantar ke Makmal Geosains Ipoh di Perak untuk dianalisa bagi pengesahan kandungan.
Kesemua empat suspek yang ditahan dituduh di Mahkamah Sesyen Baling dengan 18 pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 12, 14, 26B (a) Anti pemerdagangan Manusia dan Antipemerdagngan Migran 2007 (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Sementara bakinya dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada kesemua yang dituduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Ogos ini.
Polis juga sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Wong Kai Hong, 46, yang membuat laporan polis kes kecurian peralatan perlombongan REE bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh hubungi pegawai penyiasat, Asisten Komisioner, Che Intan Subri menerusi talian 013-9329614.
(Fisol Salleh menunjukkan gambar lelaki yang dicari polis untuk bantu siasatan)

