KUALA LUMPUR, 5 Januari– Persediaan emosi murid merupakan aspek penting dalam memastikan kelancaran pembukaan sesi persekolahan.
Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Fatimah Hanum Mohamad Hajari menjelaskan bahawa perasaan takut merupakan reaksi lazim yang dialami murid terutama apabila perlu berpisah dengan ahli keluarga serta menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
Menurut beliau, perubahan suasana santai di rumah kepada sistem persekolahan berdisiplin memerlukan sokongan emosi yang berterusan agar murid dapat melalui proses penyesuaian dengan lebih positif.
“Kebiasaannya, mereka berada dalam keadaan kebimbangan dan ketakutan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak kecil atau anak-anak di peringkat sekolah menengah yang bakal melangkah masuk ke sebuah persekitaran sekolah yang baharu.”
“Tempoh cuti yang panjang sebelum ini juga menyebabkan mereka kurang bersedia dan perlu menyesuaikan diri untuk bangun awal, meninggalkan rakan-rakan serta adik-beradik di rumah demi kembali ke alam persekolahan.”
“Inilah antara cabaran utama iaitu bagaimana mengalihkan mereka daripada keadaan yang dianggap selesa dan santai kepada satu posisi yang lebih berstruktur dan selari dengan keperluan perkembangan diri dalam sistem pendidikan,” kata Dr. Fatimah ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), di sini.
Tambahnya, peranan ibu bapa amat penting dalam membantu mengurus emosi anak-anak sebelum sesi persekolahan bermula termasuk menyusun jadual harian serta memastikan rutin tidur yang teratur.
Pada masa sama, komunikasi berkesan menjadi elemen utama dalam membina keyakinan murid ketika di sekolah.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu menunjukkan sikap tenang dan sokongan yang konsisten agar anak-anak memahami bahawa sekolah merupakan tempat yang selamat dan penting untuk perkembangan pendidikan serta kesejahteraan emosi mereka.