
KUALA LUMPUR 14 Januari– Pelancaran syiling emas edisi khas Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 mencerminkan komitmen kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam menyokong kempen pelancongan negara, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada ekonomi nasional dan komuniti setempat.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata inisiatif yang dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan contoh kerjasama yang selari dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan kejayaan TMM 2026.
Menurut beliau, usaha pihak swasta seperti Kedai Emas SMS Deen wajar dihargai kerana mengambil inisiatif sendiri untuk menyokong agenda nasional, bukan semata-mata berteraskan kepentingan perniagaan.
“Kerjasama antara Tourism Malaysia dan MOTAC ini amat penting bagi memastikan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 tercapai. Impaknya bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah turut memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya dalam Majlis Pelancaran Syiling Emas Edisi Khas TMM 2026, di ibu negara.
Beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta agar mencontohi langkah SMS Deen Jewellery dalam memperkenalkan produk kreatif berunsur pelancongan, sambil mengucapkan tahniah atas pelancaran syiling emas edisi khas tersebut.