Talian HEAL terima 163,709 panggilan dalam tempoh tiga tahun

PUTRAJAYA , 6 Januari – Jumlah panggilan bagi Talian HEAL 15555 merekodkan peningkatan ketara sejak mula beroperasi pada 21 Oktober 2022 hingga 31 Disember 2025, dengan keseluruhan 163,709 panggilan diterima sepanjang tempoh tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, seramai 125,417 klien telah menerima bantuan sokongan emosi, manakala 38,292 klien diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

Menurut Dr Dzulkefly, sebanyak 451 kes krisis tingkah laku bunuh diri yang meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri telah dikendalikan oleh petugas Talian HEAL 15555.

”Daripada jumlah ini 294 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan paling mustahak 157 kes cubaan bunuh diri yang dirujuk dengan pengaktifan MERS999 dan mendapat kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kecemasan.

“… dan mereka ini berjaya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan”, katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya.

Tambah beliau,secara purata, talian tersebut menerima 80 panggilan sehari, manakala segi trend tahunan, jumlah panggilan menunjukkan peningkatan konsisten.

Pada 2023, sebanyak 27,738 panggilan direkodkan, meningkat kepada 42,990 panggilan pada 2024, sebelum melonjak hampir dua kali ganda pada 2025 dengan 90,981 panggilan diterima.

Sehubungan itu, beliau mengalukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memperluas sokongan kesihatan mental kepada masyarakat, termasuk usaha pencegahan awal dan intervensi bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.