Tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan 10 tahun – PM

PUTRAJAYA, 5 Januari – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU berkenaan merupakan antara langkah reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan, selaras dengan hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penetapan had tempoh jawatan wajar bagi memastikan kelangsungan kepimpinan negara serta membuka ruang kepada generasi seterusnya menerajui pentadbiran.

“Semua orang ada had tempohnya. Ketua Setiausaha Negara (KSN) pun tidak boleh berkhidmat sampai puluh tahun, dan prinsip sama wajar terpakai kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang pemimpin diberikan tempoh tertentu dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, maka selepas itu kepimpinan wajar diserahkan kepada generasi berikutnya.

“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, sebab itu kita akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.