KANGAR, 4 Januari – UMNO Negeri Perlis menegaskan komitmen untuk terus membantu rakyat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang kini kosong susulan kemelut politik kerajaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat UMNO negeri bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan terlibat terus terbela meskipun tanpa wakil rakyat rasmi.
Tiga DUN berkenaan ialah Chuping, Bintong dan Guar Sanji, masing-masing terletak dalam Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar.
Beliau berkata UMNO bersetuju untuk memainkan peranan sebagai penghubung masyarakat di ketiga-tiga kawasan berkenaan agar penduduk tidak berasa terpinggir.
“UMNO juga akan turun dan membantu rakyat di ketiga-tiga kawasan. Kita tidak mahu orang di kawasan ini merasakan diri mereka kosong tanpa ada pihak yang boleh melihat kepada masalah mereka.
” Jadi kita bersetuju UMNO sendiri akan mewujudkan wakil kepada masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya demikian dalam sidang media di sini.
Menurut Datuk Rozabil, langkah itu bukan bertujuan mencampuri percaturan politik mana-mana pihak, sebaliknya merupakan tanggungjawab moral parti dalam memastikan masalah rakyat terus diberi perhatian.
Pada 25 Disember lalu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyat daripada PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO Perlis turut memaklumkan parti itu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 dengan merancang Jelajah DUN ke seluruh negeri bagi memperkukuh jentera parti serta merapatkan hubungan dengan rakyat di peringkat akar umbi.