Titi gantung runtuh, penduduk Lata Rek sambut baik pembinaan jambatan baharu

KUALA KRAI, 4 Januari – Penduduk tidak melihat insiden runtuhan titi gantung di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan sebagai musibah semata-mata, sebaliknya menganggapnya satu hikmah apabila sebuah jambatan baharu dibina demi keselamatan dan keselesaan mereka.

Seorang penduduk, Mohd Ridzuan Marhana, 58 tahun melahirkan rasa syukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menggantikan titi gantung yang runtuh tersebut.

Beliau berkata, titi gantung tersebut merupakan laluan utama kira-kira 50 penduduk yang tinggal di seberang sungai Chatel Damai yang sudah digunakan sejak puluhan tahun dahulu.

“Rasa syukur yang tidak terhingga dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin terhadap kesukaran kami berulang-alik menggunakan satu-satunya jambatan utama untuk keluar masuk dari kawasan ini. Jambatan tersebut amat penting kerana menjadi laluan penduduk mengangkut hasil pertanian dari kebun ke kawasan luar,” katanya di sini.

Seorang lagi penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 53 tahun berkata, penduduk memohon agar penggantian titi tersebut dibina menggunakan konkrit dan laluannya lebih lebar.

Katanya, rata-rata penduduk yang tinggal di Kampung Chatel Damai memiliki kereta, namun terpaksa di parkir di seberang sungai kerana titi sebelum ini hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki dan menggunakan motosikal sahaja.

“Kami mahu yang menggunakan konkrit, untuk memudahkan kami membawa masuk kereta. Apabila orang ingin bina rumah di kawasan ini, ia menjadi masalah kerana jalan terlalu sempit; perlu diperbesarkan supaya kereta boleh lalu. Jika dibuat seperti sekarang, kami risau masalah lama akan berulang,” katanya.

Sementara itu, menerusi tinjauan hari ini, titi tersebut masih digunakan penduduk buat sementara waktu selepas penduduk bergotong-royong membaikinya semula.

Dalam kejadian Khamis lalu, kira-kira 20 tetamu majlis perkahwinan terjatuh ke dalam sungai kerana titi gantung yang digunakan mereka runtuh.

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Datuk Seri Anwar mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.

Kerajaan Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.