IPOH, 6 Januari – Perak menyasarkan peningkatan kehadiran pelancong dari Indonesia, Thailand dan Singapura sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kedatangan pelancong dari negara serantau itu menjadi fokus utama kerajaan negeri berdasarkan kedudukan geografi serta hubungan pelancongan sedia ada.
“Kita kerap menerima lawatan suai kenal daripada penggiat pelancongan Thailand dan sejak tahun lalu kita turut giat memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia. Ini merupakan peluasan semula jadi kepada pasaran luar negara sedia ada.
“Singapura juga menjadi tumpuan memandangkan Perak mempunyai satu-satunya penerbangan antarabangsa. Tiga negara ini dekat dan mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sesi Jaringan bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Perak di sini, hari ini.
Menurut Loh, selain pasaran serantau, Perak turut menyasarkan kehadiran pelancong dari China dan India berdasarkan data pelancongan semasa, sekali gus mencapai sasaran 1.2 juta pelancong antarabangsa sempena TMM 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penambahan aktiviti pelancongan pada waktu malam bagi menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di Perak.
“Antara fokus ialah aktiviti santai, kebudayaan serta lawatan ke lokasi pelancongan pada waktu malam bagi meningkatkan pengalaman pelancong,” menurutnya.
Langkah berkenaan diyakini mampu meningkatkan daya tarikan Perak sebagai antara destinasi pelancongan utama negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.